Bicara Tokoh

Untuk slot bicara tokoh, kolokium pada kali ini menjemput Tan Sri Dato' Seri Dr. Samsudin Hitam yang juga merupakan bekas pelajar Sekolah Sultan Alam Syah untuk berkongsi pengalaman dan memberikan motivasi kepada peserta kolokium. Berikut adalah bidata ringkas beliau:

Dalam tempoh kerjaya beliau sebagai seorang “Mandarin” dalam Perkhidmatan Awam, yang menariknya beliau telah berkhidmat selama 15 tahun di Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan 15 tahun di Kementerian Kewangan (MOF). Beliau bertuah dapat menduduki kerusi Ketua Pengarah EPU dan bersara sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Julai 2004). Kedudukan terakhir beliau di Kementerian Kewangan menjadikan Dr Samsudin pegawai kedua tertinggi dalam perkhidmatan awam, selepas Ketua Setiausaha Negara. Semasa dalam perkhidmatan, beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke University of Wisconsin dengan mendapat ijazah MSc (Agri Econ) dan memperoleh ijazah PhD. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Samsudin Hitam lebih dikenali dengan panggilan ‘Sam Black’.

Pada akhir tahun pelaksanaan RRJP ke-2, Dr.Shamsuddin baru sahaja menyandang jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, namun masih sempat untuk memastikan matlamat pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus dicapai, tepat pada sasaran.
Beliau amat teliti dalam menjalankan tugasnya. Menurut Dr. Samsudin, menjejakkan kaki di SAS merupakan satu rahmat. Di SAS, beliau bekerja keras untuk berjaya kerana menyedari bahawa beliau bukanlah orang yang cemerlang (outstanding), lebih-lebih lagi apabila memikirkan latar belakang keluarga yang susah. Subjek yang paling diminatinya ialah Geograf sehingga beliau berusaha menterjemahkan buku teks Geograf karya Monkhouse. Nota tersebut sering menjadi rebutan teman sekelas. Beliau juga mempunyai kebolehan melakar peta dengan tepat seolah-olah, seperti peta asal dan mahir dalam map-reading. Beliau menjadi sidang redaksi majalah Persatuan Sejarah dan Geograf bersama-sama Tan Sri Mohd. Isa Samad dan Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib yang diberi judul Bumi dan Masa, yang kulit majalah itu direka oleh beliau sendiri. Yang amat ketara ialah sikap rendah diri beliau yang menepati pepatah Melayu “ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya”. Banyak orang yang menemui beliau di pejabatnya di MOF akan berasa terkejut kerana beliau akan datang sendiri menjemput tetamunya dan apabila menelefon rakannya, dengan bersahaja beliau memperkenalkan diri, “Ini Sudinlah”, tanpa memperagakan atau menyebut gelaran yang diterimanya.

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Samsudin Hitam telah melakar namanya sebagai teknokrat yang berjaya dalam merancang ekonomi negara. Jejak yang ditinggalkan beliau jelas dan kekal. Graduan dari universiti tersohor, iaitu Universiti Malaya dan University of Wisconsin, ini telah membuktikan bahawa kerja keras, dedikasi dan keikhlasan adalah segalanya dan bukannya nama yang gah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment